Kumpulan Wang Projek Sosial (SPF) menerima sumbangan secara sekali gus bernilai RM50 juta daripada Iskandar Investment Berhad (IIB) bagi projek pembangunan di kawasan Iskandar Malaysia.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, selaku pemaju utama pembangunan Iskandar, IIB juga telah memberi komitmen untuk menyuntik dana tambahan kira-kira RM25 juta.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan akan digunakan untuk kerja-kerja pembangunan di kawasan Medini, di sini.
Katanya, penggunaan SPF adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar 2007.
"Di bawah Seksyen 37 (3) akta tersebut, peruntukan boleh dibelanjakan bagi projek atau skim untuk manfaat am komuniti Iskandar Malaysia.
"Bagaimanapun, ia harus selaras dengan strategi dan inisiatif pembangunan sosial yang dinyatakan dalam Rancangan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman (BN-Machap) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.
Tambah Abdul Ghani, projek dan program yang akan dibiayai SPF perlu diluluskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Sosial (SDC) yang dipengerusikan olehnya selaku Menteri Besar Johor.
"Perbelanjaan untuk membiayai program-program yang telah diluluskan oleh SDC pula perlu diluluskan oleh Jawatankuasa SPF," katanya.
Tambahnya, jawatankuasa itu perlu memastikan dan mengesahkan penggunaan dana tersebut adalah berdasarkan akta yang ditetapkan.
"Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) akan bertindak selaku sekretariat kepada kedua-dua jawatankuasa itu," katanya.
Abdul Ghani berkata, IRDA juga mengadakan pelbagai perbincangan dengan agensi dan jabatan lain untuk mengenalpasti program pembangunan sosial yang boleh dibiayai, kumpulan sasar dan kaedah pelaksanaannya.
Beliau berkata, berdasarkan cadangan terkini, fokus dan penekanan program adalah berbentuk sosioekonomi dan tertumpu pada program penjanaan pendapatan bagi kumpulan berpendapatan rendah.
Menurutnya, ia bagi memastikan golongan berkenaan tidak ketinggalan di dalam pembangunan Iskandar Malaysia.
"Terdapat empat bidang utama di dalam cadangan penjanaan pendapatan termasuk perniagaan, pertanian, perkhidmatan dan pekerjaan.
"Pelaksanaan akan dijalankan secara bersepadu di antara jabatan berkaitan bagi memastikan tiada program atau penerima yang bertindih dengan program sedia ada," katanya