Projek bercampur RM100 juta

30 November 2009 , By Utusan Malaysia

Pemaju hartanah, Genting Property Sdn. Bhd. (Genting Property) sedang rancak membangunkan projek kediaman dan komersial bernilai kira-kira RM100 juta.

Naib Presidennya, Habibullah Khong Sow Kee berkata, projek itu melibatkan rumah teres satu tingkat, rumah teres dua tingkat, rumah kedai dua tingkat dan kedai pejabat empat tingkat.

Beliau berkata, kesemua projek tersebut kini berjalan mengikut fasa yang ditetapkan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Selain itu, satu lagi projek mega kami iaitu Johor Premium Outlet yang berkonsep Chelsea Premium Outlet daripada kumpulan runcit terbesar dari Amerika Syarikat, Chelsea Property Group akan dimulakan awal tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2011.

"Semua pembangunan projek itu merupakan lanjutan daripada kejayaan syarikat menyiapkan 6,000 unit rumah kediaman dan komersial sejak 1996," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Genting Property yang merupakan salah sebuah syarikat pemaju utama di Kulai, dekat sini merupakan anak syarikat Kumpulan Genting yang dahulunya dikenali Asiatic Land Development Sdn. Bhd..

Habibullah Khong berkata, syarikat itu memiliki bank tanah seluas 7,000 ekar di Kulai yang bersamaan jumlah keluasan bandar raya Georgetown di Pulau Pinang.

Menurutnya, ketika ini, Genting Property baru membangunkan kira-kira 10 peratus daripada jumlah tersebut dan bakinya dijangka memakan masa sehingga 100 tahun untuk dibangunkan.

"Baki 60 peratus itu cukup menggambarkan potensi besar pembangunan yang akan dilaksanakan di Kulai terutamanya apabila terletak di tengah-tengah kawasan koridor pembangunan Iskandar Malaysia.

"Justeru, semua pihak sama ada penduduk tempatan, pelabur dan pembeli kami dijangka dapat meraih manfaat besar kerana terdapat lebih banyak projek menarik bakal dibangunkan pada masa akan datang," katanya.

Ditanya perancangan syarikat, Habibullah Khong berkata, Genting Property berhasrat menjadi syarikat pemaju hartanah yang kreatif dengan menyasarkan Kulai sebagai bandar berkonsep pelancongan, pendidikan dan teknologi hijau.

Menurutnya, syarikat ingin menampilkan pembangunan kawasan unik dan berbeza dengan apa yang ditawarkan di Johor Bahru dan negara jiran, Singapura.

"Kami mempunyai banyak perancangan di Kulaijaya pada masa akan datang dan satu daripadanya adalah untuk membina hotel-hotel kecil bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke sini.

"Pada masa sama, kami juga ingin membangunkan projek pembangunan kediaman untuk golongan pesara berdasarkan kawasan ini yang masih kaya dengan sumber alam semulajadi," ujarnya.

Mengenai prospek industri di negara ini pada masa akan datang, Habibullah Khong berkata, pusingan turun dan naik merupakan senario biasa namun permintaan terhadap industri hartanah adalah positif.

Katanya, ini kerana masih ramai lagi golongan muda yang memerlukan rumah kediaman yang selesa sebagai aset dan pelaburan mereka.

Artikel Berkaitan

Bas Perintis

Pelancaran Bas Perintis- "Khidmat...

Kempen Keselamatan Rumah

Sebagai sebahagian dari komitmen Pihak...

Kenapa Iskandar Malaysia? Lokasi Strategik

Global Dalam perspektif global, pemban...

Risalah Wawasan Iskandar

Anda boleh mencari dan memuat turun ri...

Maklumat untuk Rakyat Asing

Pekerjaan Perunda...

Di mana tempat beriadah?

Iskandar Malaysia adalah mampu dimilik...

 
Share |