Projek usaha sama antara United Malayan Land Bhd dengan Tradewinds Johor Sdn Bhd di Bandar Pulai Jaya, Johor, dijangka menyumbang nilai pembangunan kasar sebanyak RM718 juta.
Dijadualkan siap dalam tempoh lima tahun, pembangunan yang dicadangkan itu juga akan melengkapkan dan meningkatkan sumbangan perbandaran dan pembangunan khusus yang sedia ada.
“Usaha kerajaan menjadikan Iskandar Malaysia sebagai hab pelaburan ideal di wilayah selatan, menawarkan peluang besar pertumbuhan dan perluasan,”kata Ketua Eksekutif United Malayan Land, Pee Tong Lim menerusi satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau berkata, semua pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa syarikat itu sudah meluluskan pembelian tanah pegangan bebas seluas 254.5 hektar di Bandar Pulai Jaya bagi tujuan pembangunan itu.
Tanah untuk tujuan pembangunan bercampur itu membabitkan taman industry dan teknologi, komersial,hab logistic dan pengangkutan selain komponen kediaman sokongan.
Pee berkata, pengambilalihan tanah itu selari dengan pelan perniagaan kumpulan untuk melabur dalam pembangunan khusus secara usaha sama dengan rakan strategic.
Katanya, ia berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan dan menyediakan kumpulan itu dengan aliran pendapatan yang berterusan untuk masa depan.