Sertai program pelancongan ‘Jelajah Malaysia Melalui Laut’
JOHOR BAHRU: Sebanyak 76 kapal pesiar dan kapal layar dari 17 negara akan berkumpul sempena program pelancongan ‘Jelajah Malaysia Melalui Laut’ di marina yang baru dibuka di Teluk Danga, di sini dari 31 Oktober hingga 1 November depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Hoo Seang Chang, berkata acara itu inisiatif terbesar untuk memperkenalkan negara ini kepada pelayar kapal pesiar dan kapal layar dari seluruh dunia.
Beliau berkata, sempena program itu, pihaknya menganjurkan beberapa seminar dan pameran bertajuk ‘Malaysia Welcoming Centre’ (MWC) untuk pelajar selama dua hari diikuti dengan festival makanan, hiburan dan persembahan kebudayaan.
“MWC yang diadakan di Pusat Konvensyen Teluk Danga untuk memperkenalkan industry marin negara dan perkhidmatan berkaitan serta menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan kepada komuniti pelayaran antarabangsa.
“Pameran MWC ini akan dibuka secara percuma kepada orang ramai pada 31 Oktober dan 1 Novemver depan dari jam 10 pagi hingga 6 petang,” katanya pada sidang media di Teluk Danga di sini, kelmarin (Isnin). Hadir sama, Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Johor (MTPJ), Abdul Jabal Tahir.
Acara berkenaan dianjurkan Danga Bay Sdn Bhd dan Passion Asia Sdn Bhd dengan kerjasama MTPJ, Iskandar Malaysia dan UEM Land Bhd.
Seramai kira-kira 150 peserta dan 76 kapal pesiar dan kapal layar menyertai pameran berkenaan dengan Australia menghantar penyertaan terbesar dengan 29 kapal diikuti Amerika Syarikat (12), United Kingdom (11), Kanada (lima), Belanda (tiga), Perancis (tiga) serta Switzerland dan British Virgin Island masing-masing dua buah.
Selain itu, ia juga disertai kapal dan pelayar dari Jerman, Sepanyol, Finland, Sweden, Vanuatu, Antigue & Barbuda, New Zealand, Norway dan Belgium.
Hoo berkata, pihaknya percaya pameran MWC mampu menarik perhatian peminat kapal layar dari seluruh negara dan Singapura dengan acara berkenaan selaras dengan kempen Malaysia-Rumah Keduaku.
“Kapal pesiar yang memasuki negara ini biasanya menetap di sini antara tiga bulan hingga tahun. Kami berharap dapat mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan Johor kepada mereka,” katanya.
Marina di Teluk Danga itu akan mempunyai 250 pengkalan kapal, rumah kelab yang eksklusif dengan bilik tetamu, kemudahan makan dan minum, gim, spa, ruang muzik, kafe, tempat hiburan, bilik mesyuarat dan pusat perniagaan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Danga Bay Sdn Bhd, Datuk Lim Kang Hoo, berkata pihaknya akan melengkapkan marina dengan kemudahan bertaraf dunia untuk pemilik kapal pesiar mewah dan pelayar dari seluruh dunia.
Beliau berkata, Teluk Danga adalah destinasi sesuai untuk pelayar mewah kerana lokasi berdekatan dengan pusat bandar dan keadaan udara di Selat Johor yang tidak tercemar.
“Marina ini juga sesuai bagi bot kerana terlindung daripada gelora pasang surut laut berikutan lokasinya yang strategik dan kemudahan semula jadi,” katanya yang mengakui marina itu adalah kemudahan baru yang diusahakan pihaknya termasuk Pusat Konvensyen Teluk Danga, hotel bertaraf enam bintang, kondominium mewah dan pejabat komersial.