PolymerLatex buka kilang RM250 juta

14 October 2009 , By Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU 13 Okt. - PolymerLatex GmbH menerusi PolymerLatex Sdn. Bhd. telah membuka kilang getah nitril bernilai RM250 juta di sini, kemudahan yang terbesar di dunia dan pertama di luar Eropah.

Kilang yang juga terbesar di rantau Asia itu terletak di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang dekat sini, dilengkapi dengan teknologi global terkini dan mampu mengeluarkan 100,000 tan getah nitril setahun.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Operasinya, Dr. Dieter Hestererth berkata, kehadiran syarikat itu di negara ini berdasarkan keyakinan politik yang stabil, infrastruktur yang menggalakkan dan persekitaran perniagaan yang menarik.

"Malaysia turut menjadi lokasi yang strategik buat kami kerana memiliki tenaga kerja yang berpengetahuan luas, produktif dan mampu menguasai pelbagai bahasa.

"Justeru, kami berharap dapat berkongsi kemahiran yang dimiliki sejak 50 tahun lalu untuk menyumbang kepada pertumbuhan industri di negara ini pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran kilang itu yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarbangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PolymerLatex Sdn. Bhd., Vinny Bhalla.

Polymer Latex GmbH yang beribu pejabat di Jerman merupakan peneraju utama pengeluar getah sintetik di dunia.

Selain memiliki kilang di Jerman, syarikat itu turut beroperasi di Itali, Finland dan Dubai.

Syarikat tersebut mempunyai rangkaian pengedar di seluruh dunia dalam industri yang berasaskan karpet, pembinaan dan cat, sarung tangan, kertas dan tekstil.

Sementara itu, Vinny berkata, syarikatnya membangunkan infrastruktur kilang itu dengan menumpukan kepada pertambahan bahagian dan peningkatan pengeluaran bagi pengembangan operasi masa akan datang.

Beliau berkata, pihaknya menetapkan kilang itu mampu berkembang dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang berdasarkan pertumbuhan pasaran yang memberangsangkan ketika ini.

"Kami yakin cukup bersedia dengan kecekapan pengeluaran di kilang ini dalam usaha memenuhi permintaan pelanggan yang semakin berkembang.

"Persediaan itu turut melibatkan pemindahan kesemua teknologi di pusat pembangunan dan penyelidikan syarikat di Jerman ke Pasir Gudang dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat global bagi industri sarung tangan," katanya.

Dalam pada itu, Kok Hong berkata, pembukaan kilang itu mampu merancakkan lagi pembangunan pesat di Iskandar Malaysia sebagai destinasi bertaraf dunia bagi pelabur dan ahli perniagaan.

Beliau berkata, ia sekali gus dapat merealisasikan matlamat kerajaan negeri intuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat industri yang bermodalkan teknologi tinggi.

Related Content

Iskandar Malaysia Brochures

Here is where you can find and downloa...

Medini Incentive Application Documents

  For the ADM, IDR Status and Fla...

Iskandar Malaysia Information Kit

Flagship Incentives Iskandar Malaysia ...

Iskandar Insight Newsletter

Here is where you can find and downloa...

Where to Play?

Iskandar Malaysia is affordable, acce...

Iskandar Regional Development Authority

The Iskandar Regional Development Auth...

Why Iskandar Malaysia?

Strategic LocationGlobal In the global...

 
Share |